SILVERSTONE – Selepas mengharungi 239 perlumbaan, Nico Hulkenberg akhirnya menamatkan penantian untuk menjejakkan kaki di podium apabila menjadi pelumba ketiga terbaik pada Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone malam kelmarin.
Dalam perlumbaan yang penuh ‘huru-hara’ akibat hujan lebat, pelumba Sauber itu memulakan saingan di petak ke-19, namun dia berjaya menempatkan diri dalam kelompok hadapan sebelum melintasi garisan penamat di tempat ketiga.
Hulkenberg berkata, dia seolah-olah tidak percaya dengan keputusan itu memandangkan dia memulakan perlumbaan di barisan terakhir selain hujan lebat yang menyaksikan ramai pelumba gagal menamatkan saingan.
“Saya rasa sangat puas kerana sudah lama menantikan detik seperti ini. Bagaimanapun, saya sentiasa yakin bahawa semangat itu sentiasa ada dalam diri dan hari ini (kelmarin), ia dapat dibuktikan.
“Perlumbaan yang cukup hebat dan saya boleh dianggap bermula di kedudukan terakhir. Saya pun tidak pasti bagaimana semua ini boleh berlaku, jadi ini merupakan satu perlumbaan yang cukup ‘gila’,” katanya.
Meskipun dicabar juara dunia tujuh kali dari Ferrari, Lewis Hamilton bagi perebutan tempat ketiga, namun pelumba Jerman itu kekal fokus dan mempertahankan kedudukan sehingga tamat perlumbaan.
“Perlumbaan ini seolah-olah kami berjuang untuk meneruskan hidup dan pasukan melakukan percaturan tepat. Saya gembira kerana kami membuat pilihan cukup tepat dan mengelak sebarang kesilapan,” ujar Hulkenberg. – AGENSI