SUBANG JAYA – Sebanyak 468 perusahaan sosial telah menerima akreditasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sehingga Jun lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, daripada jumlah tersebut, perusahaan sosial telah memberi manfaat kepada lebih 56,000 penerima sasaran.
Katanya, perusahaan sosial bukan sahaja menumpukan kepada keuntungan, tetapi juga kepada sumbangan kepada masyarakat.
“Inisiatif ini hadir tepat pada masanya. Ketika kita berhadapan dengan cabaran sosial dan ekonomi yang semakin kompleks, peranan perusahaan sosial menjadi semakin penting.
“Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) sebagai agensi di bawah Kuskop yang dilantik sebagai sekretariat akreditasi perusahaan sosial, akan mengadakan lebih banyak kursus dan seminar berkaitan” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian ‘Students’ Social Entrepreneurship Initiative’ dan Seminar Keusahawanan Sosial di Kolej Antarabangsa INTI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, perusahaan sosial adalah antara agenda utama kerajaan, dan Kuskop berperanan sebagai peneraju pembangunan ekosistemnya di Malaysia.
“Kuskop komited memperkukuh sokongan kepada perusahaan sosial dengan mewujudkan dasar dan insentif yang kondusif.
“Kami turut menggalakkan kerjasama antara sektor awam, sektor swasta dan masyarakat sivil. Paling penting, mengangkat suara komuniti akar umbi dan terpinggir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE