fbpx

Pembinaan penghadang, pasang lampu jalan sepanjang Sungai Korok diteliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika melawat keluarga mangsa tragedi Sungai Korok hari ini.

JERLUN – Infrastruktur seperti pagar penghadang dan lampu jalan di laluan sepanjang Sungai Korok sejauh 20 kilometer (km) akan diteliti demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di situ.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mendapat taklimat berhubung perkara itu dan perbincangan akan dilakukan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Perbincangan akan dibuat untuk membuat penghadang di tepi sungai dan lampu jalan saya akan ikhtiarkan untuk dipasang di kawasan tersebut dan kawasan-kawasan gelap yang lain.

“Secara kebetulan saya juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, jadi saya akan beritahu kepada menteri yang berkenaan supaya tindakan segera dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga enam beranak yang terkorban di Kampung Bohor Karang, di sini hari ini.

Mayat enam sekeluarga itu ditemukan dalam kereta yang dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok, semalam selepas kehilangan mereka menjadi misteri sejak Sabtu lalu.

Kesemua mereka, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Anayla Humaira Nur Izat, 7, dan Tuah Haydar selamat dikebumikan malam tadi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menjadikan anak sulung pasangan itu, Putri Qisya Nur Izzat, 12, sebagai anak angkat sehingga kanak-kanak itu menjejakkan kaki ke peringkat universiti.

Beliau turut menasihatkan Putri Qisya Nur Izzat agar terus tabah dan kuat menghadapi ujian hidup yang amat berat itu.

“Saya telah nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah kerana doa anak solehah kepada ibu bapa tiada hijab. Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik beradiknya yang telah pergi.

“Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. Insya-Allah, MRSM bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya,” katanya.

Tambahnya, segala bantuan lain yang diperlukan kanak-kanak itu juga akan disalurkan dari masa semasa kerana kerajaan mahu memastikan kebajikan anak yatim piatu sentiasa terbaik demi masa depannya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI