JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori yang memberi rasuah RM100 kepada anggota polis di Segamat, tahun lalu terima pada apabila dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Tertuduh, P. Sattiasegar, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM100 kepada seorang koperal polis yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.
Perbuatan itu adalah sebagai dorongan kepada anggota polis berkenaan untuk melepaskan kelindan tertuduh iaitu seorang lelaki warga asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan padang bola, Jalan Pogoh, Kampung Pogoh di Segamat, pada pukul 12.45 tengah hari, 28 Ogos 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Bagi pertuduhan itu, lelaki terbabit berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin dan tidak menawarkan sebarang jaminan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan jamin kerana tertuduh mempunyai anak yang masih bersekolah.
“Tertuduh mempunyai seorang isteri dan seorang anak di tingkatan empat. Dia bersedia dengan wang jaminan sebanyak RM2,000,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE