IPOH – Anak-anak yang bersekolah sesi petang terpaksa menunggu selama sejam sebelum dijemput ibu bapa masing-masing ekoran jalan yang dinaiki air dalam kejadian banjir kilat.
Itu situasi yang terpaksa dihadapi penduduk kawasan Kinding, Tanjung Rambutan yang menggunakan Jalan Chemor-Tanjung Rambutan untuk urusan harian mereka.
Menurut wakil penduduk, Rosidi Mohd. Rejab, 41, masalah itu menghantui orang ramai sejak lebih 10 tahun lalu dan menjejaskan ribuan penduduk di enam kawasan perumahan.
“Kadang-kadang anak bersekolah sudah tahu ibu bapa akan lewat kerana banjir. Banjir kilat berlaku ekoran hujan lebat berterusan dalam sejam, dan ambil masa sejam lagi untuk surut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Rosidi memberitahu, sudah banyak aduan dikemukakan sebelum ini, namun masalah tersebut masih lagi membelenggu penduduk.
“Bahkan jalan ini makin kerap digunakan bagi mereka yang mahu ke Sungai Siput dari Ipoh. Kadangkala mereka terpaksa menunggu sehingga air surut. Air naik cecah paras pinggang, tiada kereta dan motosikal yang boleh lalu,” katanya.
Desakan penduduk itu mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad membawa beberapa jabatan kerajaan dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk melawat kawasan yang terletak berhadapan stesen minyak Petron.
Semasa pertemuan itu, beberapa agensi kerajaan dan MBI bercadang membaiki infrastruktur yang ada termasuk kawasan tadahan serta sistem perparitan. – KOSMO! ONLINE