GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang wanita Orang Asli yang terlantar sakit dari Kampung Tendrik, Pos Bihai untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini semalam.
Pesakit, Abong Busu, 54, dilaporkan lemah selepas tidak boleh bangun akibat sakit perut, sakit belakang, sakit kepala dan muntah selama empat hari.
Penolong Kanan Penguasa Bomba Amir Fitri Salim berkata, pesakit dan seorang pengiring dibawa menaiki helikopter MI-17-IV untuk dibawa ke Hospital Gua Musang.
Katanya, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada pukul 11.20 pagi dan tiba di Kampung Tendrik, Pos Bihai pada pukul 12.40 tengah hari.
“Setibanya di Kampung Tendrik, pesakit dibawa ke pesawat oleh anggota unit Udara JBPM dan dibantu seorang penduduk kampung bersama pengiring.
“Pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 1 tengah hari dan pesakit diserahkan kepada anggota Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke Hospital Gua Musang,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Amir Fitri memberitahu, operasi terbabit diketuai olehnya sebagai juruterbang dan turut dibantu Pembantu Juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Sulaiman dan enam lagi anggota. – KOSMO! ONLINE