JITRA – “Saya juga ada anak, memang sayu bila tengok keadaan jasad anak-anak kecil termasuk bayi dalam Proton Iswara yang terbabas ke Sungai Korok.”
Demikian cerita anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohammad Hasri Haslan, 31, tentang pengalamannya terlibat dalam operasi mengeluarkan mayat enam beranak termasuk bayi berusia enam bulan di Sungai Korok di sini semalam.
Katanya, kes yang menimpa pasangan suami isteri serta empat anak itu merupakan antara operasi paling sayu dan tragis yang pernah dia terlibat.
“Saya sangat sedih dan tersentuh hati ketika melihat jasad dikeluarkan dari kereta sebelum dibawa ke tebing.
“Jasad pertama yang dikeluarkan kanak-kanak perempuan, diikuti bayi lelaki, kanak-kanak lelaki dan seterusnya ibu bapa mereka,” katanya ketika ditemui.

Menurut lelaki itu, meskipun sukar untuk menggambarkan perasaan sedihnya, dia perlu tetap meneruskan tugasan tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok.
Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak tersebut berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.
Mereka ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Sri Aman, di sini. – KOSMO! ONLINE