PETALING JAYA – Komitmen tidak berbelah bahagi pasukan Kerajaan Madani dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berterusan kerajaan meletakkan nama Malaysia di radar para pelabur global.
“Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan Madani dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Anwar turut memberi peringatan agar rakyat tidak terpengaruh dengan suara-suara sumbang yang mempertikai usaha dan pencapaian kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas dunia.
“Usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha ini. Perjalanan kita masih panjang dan kita akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menyifatkan penyertaan Malaysia sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala, bukan sahaja dengan Brazil, malah bersama negara anggota BRICS lain seperti Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Anwar mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 yang berakhir semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Anwar hadir atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS bagi tahun 2025. – KOSMO! ONLINE