SINGAPURA – Seorang pelancong Amerika Syarikat mencetuskan perdebatan hangat di laman sosial selepas mendakwa makanan di Malaysia bukan sahaja lebih sedap berbanding Singapura tetapi jauh lebih murah, lapor portal berita VNExpress semalam.
Dalam tulisan pada 25 Jun lalu di kumpulan Facebook ‘Malaysia Travel Tips’, Brent Farris menulis: “Saya akan menyatakan sesuatu yang agak kontroversi.
“Jika ia menyinggung perasaan anda, saya mohon maaf terlebih dahulu.
“Apa-apa sahaja yang anda boleh ditemui di Singapura (dari segi makanan), anda boleh dapatkannya di Malaysia pada harga satu pertiga (lebih murah) dan rasanya lebih enak.”
Tulisan beliau cepat menjadi tular dan mendapat lebih 800 perkongsian bersama lebih 1,000 komen.
Sejumlah pengguna bersetuju dengan Farris termasuk sebahagian warga Singapura.
“Saya orang Singapura dan saya bersetuju. Makanan Malaysia sedap dan lebih baik daripada versi di Singapura,” kata seorang netizen.
“Malah orang asing seperti anda tahu kebenarannya,” tambah seorang lagi. – AGENSI