AMPANG JAYA – Dua beranak ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki di Taman Pandan Perdana, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima penggilan daripada seorang penolong pegawai perubatan berhubung kematian mangsa berusia 37 dilokasi kejadian kira-kira pukul 7.16 malam pada 22 Jun lalu.
Katanya, pada awalnya kes berkenaan diklasifikasi sebagai kematian mengejut, namun kejadian berkenaan terbongkar selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan mempunyai unsur jenayah.
“Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan keesokan harinya di Unit Forensik, Hospital Ampang mendapati terdapat unsur jenayah.
“Siasatan kes telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 36 dan 73 tahun yang juga anak dan bapa ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya antara 26 hingga 28 Jun lalu.
“Pihak polis turut merampas sebatang rotan buluh serta sebatang playar boleh laras yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” ujarnya.
Jelasnya, saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek menunjukkan keputusan negatif dadah dan semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Mohd. Azam berkata, mahkamah telah membenarkan perintah reman terhadap suspek pertama selama 14 hari bermula 27 Jun manakala suspek kedua direman selama 13 hari bermula 29 Jun bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah jangkitan kuman pada otot akibat kecederaan pada kulit dan tulang,” katanya.
Ujarnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu hutang antara mangsa dan suspek. – KOSMO! ONLINE