GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini menetapkan 17 hingga 21 November serta 24 dan 25 November ini sebagai tarikh perbicaraan untuk empat individu membela diri atas pertuduhan asal membunuh T.Nhaveen, tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dalam prosiding yang dijalankan hari ini.
Ia susulan Mahkamah Rayuan pada Januari lalu telah memerintahkan, empat individu tersebut iaitu J. Ragesuthan, 26, S. Gokulan, 26, dan dua individu yang merupakan remaja ketika kejadian untuk membela diri berhubung tuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan keempat-empat individu tersebut untuk membela diri atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan Nhaveen, T. Previin, yang berusia 19 tahun ketika itu.
Selain itu, tarikh yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini juga bertujuan bagi mendapatkan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap tertuduh kelima, S Gopinaath, 34, untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini telah membebaskannya.
Perbicaraan itu sepatutnya bersambung hari ini sehingga Jumaat, susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Januari lalu yang memerintahkan empat tertuduh membela diri.
Ketika prosiding Hakim Mohd. Radzi berkata, mahkamah perlu menangguhkan perbicaraan hari ini sehingga perbicaraan rayuan di Mahkamah Persekutuan diperoleh bagi mengelakkan berlakunya perbicaraan secara berulang atau berganda.
“Ia juga akan sebabkan kesemua saksi dipanggil semula, pada pendapat mahkamah keputusan Mahkamah Persekutuan tertuduh kelima (Gopinaath) perlu ditunggu untuk elak keadaan berlakunya pengulangan perbicaraan,” katanya.
Empat tertuduh, iaitu J. Ragesuthan, S. Gokulan, dan dua lagi yang masih di bawah umur ketika kejadian, didakwa membunuh Nhaveen yang berusia 18 tahun di sebuah taman di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Jun 2017.
Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap keempat-empat mereka dan mengarahkan mereka membela diri.
Namun, mahkamah itu mengekalkan pembebasan Gopinaath setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya. Gopinaath didakwa pada pertengahan perbicaraan pada tahun 2021, selepas bukti yang memberatkannya dikemukakan di mahkamah.
Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan. Menurut fakta kes, Nhaveen dipukul dengan topi keledar. Beliau dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) tetapi meninggal dunia enam hari kemudian, pada 15 Jun 2017. -KOSMO! ONLINE