KUALA LUMPUR – Isu tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan eksport Malaysia, akan dibincangkan di Kabinet esok.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, daripada jumlah RM186 bilion eksport komoditi, kira-kira RM20 bilion disalurkan kepada Amerika Syarikat.
Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia bukan pembekal eksklusif kerana produk-produk yang dieksport oleh negara ke AS tidak dihasilkan oleh negara tersebut seperti kelapa sawit, produk oleokimia dan sarung tangan getah.
“Namun Malaysia tetap perlu bersaing dengan negara pengeksport lain seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan China yang turut menguasai pasaran global.
“Kalau tengok Indonesia, untuk minyak sawit mereka lebih tinggi daripada kita. Bagi sarung tangan getah, di China dan Vietnam, kita boleh bersaing secara adil berbanding di Thailand mereka lagi tinggi dari kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Transformasi Kampus Taylor’s International School Kuala Lumpur (TISKL) di sini hari ini.
Johari berkata, usaha rundingan yang dijalankan oleh pasukan diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selama 90 hari sebelum ini telah membawa kepada lanjutan tempoh sehingga 1 Ogos untuk perbincangan lanjut.
“Tapi, sekarang dia telah naikkan daripada 24 peratus kepada 25 peratus. Jadi kita akan tunggu.
“Kabinet akan berbincang pada hari Rabu (esok),” katanya.
Sementara itu, Johari menekankan bahawa Malaysia tidak boleh bergantung kepada satu pasaran sahaja dan perlu segera mencari alternatif pasaran baharu.
Beliau turut menolak risiko dikenakan tarif lebih tinggi dengan penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS.
“Dalam dunia ini ada lebih 190 negara. Takkan satu negara buat begini, kita terus rasa tak boleh buat apa-apa
“Kita harus cari pasaran baharu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengancam mengenakan tarif lebih tinggi terhadap lebih 12 negara dunia.
Trump kemudian berkata, beliau mungkin fleksibel pada tarikh akhir baharunya, Ogos ini bagi pelaksanaan tarif tersebut. – KOSMO! ONLINE