JERLUN – Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Sungai Korok, Jitra, dekat sini kelmarin selamat dikebumikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Taqwa, Kampung Jerlun di sini pada pukul 11.50 malam tadi.
Jenazah pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan tiba di pekarangan masjid pada pukul 10 malam.
Kira-kira 500 jemaah hadir menyempurnakan solat jenazah yang diimamkan oleh bilal masjid berkenaan, Amir Abdul Wahab.
Jenazah enam beranak tersebut dikebumikan bersebelahan dengan kubur kembar Tuah Haydar, Jebat Haydar yang meninggal dunia ketika berusia sebulan.
Suasana sedih menyelubungi pekarangan masjid dengan kehadiran lebih 1,000 orang termasuk ahli keluarga dan orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.
Turut kelihatan anak sulung pasangan tersebut, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kelihatan sugul sepanjang pengebumian.
Terdahulu jenazah dibawa menggunakan lima van jenazah daripada sukarelawan, Pertubuhan Amal Warisan Kedah, Murtadha Dakwah Centre, Pertubuhan Sukarelawan Van Jenazah Kedah setelah selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Terdahulu Kosmo! Online menyiarkan berita pilu tersebut apabila enam beranak berkenaan ditemukan maut dalam kereta yang terhumban ke dalam Sungai Korok, Jitra dekat sini.
Enam beranak tersebut dalam perjalanan ke rumah mereka di Kampung Bohor Karang, Ayer Hitam di sini pada pukul 5.30 pagi setelah bermalam di rumah saudara di Taman Seri Aman, Jitra.
Tragedi tersebut mengakibatkan anak sulung pasangan tersebut, Putri Qisya, menjadi yatim piatu sekelip mata. – KOSMO! ONLINE