KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan untuk merangka modul khas bagi menangani penularan fahaman radikal dan ekstremisme dalam kalangan warga asing khususnya pekerja dari Bangladesh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan itu susulan penahanan warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan baru-baru ini.
Menurut beliau, kementeriannya memandang serius perkara itu dan meminta Ketua Pengarah Jakim untuk bekerjasama dengan agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari pendekatan paling berkesan menangani isu tersebut.
“Antara usaha kita adalah membangunkan modul khas yang sesuai bagi golongan pekerja asing seperti dari Bangladesh supaya mereka tidak mudah terdedah kepada fahaman radikal.
“Jika kita berjaya tangani fahaman ini di peringkat akar umbi, bukan sahaja kita membantu keselamatan negara, malah boleh bantu kekang ancaman terhadap kerajaan negara asal mereka,” katanya pada sidang akhbar Majlis Zakat Korporat 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata, Jakim sebelum ini mempunyai pelbagai modul dan program berbentuk pendidikan seperti seminar, ceramah dan khutbah Jumaat yang menekankan nilai kesederhanaan atau wasatiyyah, selaras dengan gagasan Malaysia Madani.
“Pendekatan pendidikan dan pemahaman Islam secara sederhana ini telah lama dilaksanakan kepada rakyat tempatan. Cuma sekarang kita mahu sesuaikan modul sedia ada untuk warga asing khususnya pekerja asing di Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, usaha itu penting dalam membendung gejala Islamofobia, ekstremisme dan liberalisme yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang berjaya ditumpaskan PDRM dipercayai mengumpul dana dan merekrut ahli untuk kumpulan pengganas di Bangladesh dan Syria.
Rangkaian berkenaan mengumpul dana melalui pembayaran yuran keahlian sebanyak RM500 seorang bagi tempoh setahun serta sumbangan lain bergantung kepada kemampuan. – KOSMO! ONLINE