fbpx

Fitnah ilmu hitam: Pemilik TikTok kena bayar RM100,000 kepada Rosmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik akaun TikTok diperintah membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor berhubung fitnah ilmu hitam dan perbuatan syirik yang dimuat naik dalam akaunnya dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 74, selaku plaintif terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, selepas lelaki itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman pada tarikh ditetapkan.

Semasa membaca keputusan dalam prosiding taksiran ganti rugi yang dibuat secara dalam talian, Shahrir berkata plaintif berjaya membuktikan kelayakannya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah itu.

“Selepas mempertimbangkan semua perkara, mahkamah berpendapat jumlah keseluruhan RM100,000 adalah suatu penilaian yang adil dan seimbang. Jumlah RM100,000 ini merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

“Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan memandangkan tiada keterangan kukuh dikemukakan di hadapan mahkamah ini bagi menyokong pemberian itu,” katanya.

Pada 28 Mei 2024, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi di sini terhadap Ku Muhammad Hilmie selepas defendan gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman pada tarikh ditetapkan.

Rosmah yang menuntut RM1 juta memfailkan saman pada 19 September 2023 mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik rakaman video di akaun TikTok miliknya mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif pada 22 Mac 2023.

Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti melibatkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan penaung badan-badan amal di negara ini yang dikenali umum.

Rosmah mendakwa akibat kenyataan fitnah itu, beliau dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekali gus mencemarkan reputasinya selaku figura yang dikenali oleh masyarakat umum.

“Ekoran fitnah yang dimuat naik itu, saya mengalami gangguan emosi dan kemurungan serta hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak kerana risau dipersoal oleh orang ramai dan kenalan-kenalan saya.

“Selain itu, saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham setiap kali pernyataan mengenai kenyataan fitnah itu diutarakan kepada saya,” kata Rosmah dalam afidavit sokongannya.

Sehubungan itu, beliau menuntut antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI