NEW YORK – Gergasi La Liga, Real Madrid membolot hadiah keseluruhan wang tunai tertinggi dengan nilai sebanyak AS$86 juta (RM363.1 juta) selepas berjaya melepasi peringkat separuh akhir saingan Piala Dunia Kelab (CWC) kali ini.
Keuntungan diraih skuad The Galacticos itu melepasi pencabar terdekat bakal dihadapi mereka pada aksi separuh akhir nanti iaitu juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) yang mengutip sebanyak AS$78.5 (RM331.4 juta) selepas mengharungi lima perlawanan.
Tiga lagi pasukan melengkapkan kedudukan carta lima teratas sebagai penerima insentif paling tinggi adalah kelab Brazil, Fluminense (AS$61 juta/RM257 juta), Chelsea (AS$59 juta/RM249 juta) dan Bayern Munich (AS$59 juta/RM240 juta).
Sekiranya Real berjaya menewaskan PSG dan Chelsea pula menang ke atas Fluminense di separuh akhir nanti, nilai wang kemenangan mereka akan bertambah sebanyak AS$30 juta (RM126.6 juta).
Sementara itu, juara bagi saingan Piala Dunia Kelab anjuran Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) edisi ini akan mendapat tambahan sebanyak AS$40 juta (RM168 juta).
Presiden FIFA, Gianni Infantino bulan lalu mendedahkan Piala Dunia Kelab bakal menjadi kejohanan paling mahal dalam sejarah antarabangsa apabila menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$1 bilion (RM4.2 bilion).
“Semua kelab yang bertanding akan mendapat insentif yang lumayan dan pihak FIFA langsung tidak mengambil sebarang wang daripada hasil tajaan yang diraih bagi menganjurkan kejohanan ini,” kata Infantino. – AGENSI