NEW YORK – Pengurus Fluminense, Renato Portaluppi mempunyai misi untuk membuktikan bola sepak moden tidak hanya berpaksikan kepada kekayaan semata-mata, sebaliknya lebih kepada kemahuan setiap pemain untuk melakar kejayaan.
Fluminense selaku naib juara edisi lepas dipisahkan sekurang-kurangnya 90 minit lagi untuk layak ke final kali kedua berturut-turut dan kini berdepan juara Liga Konferens Europa, Chelsea pada separuh akhir Piala Dunia Kelab 2025 di Stadium MetLife awal pagi esok.
Portaluppi tidak menafikan pasukannya sentiasa bergelut untuk mengeluarkan sebarang perbelanjaan dan melabel aksi suku akhir menentang Al-Hilal sebagai perhitungan dua darjat.
“Untuk saya, permainan bola sepak dan pemenang hanya akan ditentukan dalam padang,” katanya selepas berjaya menyingkirkan kelab mewah dari Arab Saudi itu di suku akhir pada Sabtu lalu.
Ketika aksi itu, terdapat jurang kewangan yang agak besar antara kedua-dua pasukan di mana Al-Hilal mendapat sokongan daripada Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, manakala Portaluppi mengakui pasukannya sentiasa berdepan kesukaran untuk memperoleh bajet lebih kukuh.
Chelsea juga hadir sebagai salah satu pasukan yang memiliki kemampuan kewangan apabila gergasi Liga Perdana Inggeris itu membawa masuk beberapa pemain baharu seperti Liam Delap dan Joao Pedro.
“Belum berakhir lagi, apa juga situasi kelab hadapi, penyokong Fluminense ada banyak perkara boleh dibanggakan dengan pencapaian kami di Piala Dunia Kelab kali ini.
“Kami tidak memiliki kewangan yang kuat, namun di dalam padang, apabila 11 lawan 11, kami ada kemahuan tiggi dan hakikatnya berhak untuk berada di pentas separuh akhir,” katanya.
Kapten yang juga bek tengah Fluminense, Thiago Silva enggan terlalu menghormati Chelsea selaku bekas kelabnya selama empat musim dari 2020 hingga 2024 dan berharap rakan-rakan melepaskan geram dalam usaha mara ke pentas final.
“Apabila saya mendengar apa yang berlaku kepada Diogo Jota, perkara pertama yang saya fikirkan adalah jangan tunggu sehingga hari esok. Jika mahu lakukan sesuatu, kami perlu lakukannya sekarang,” katanya. – AGENSI