NEW YORK – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca percaya barisan pemainnya semakin jelas dengan apa yang dimahukannya dan sentiasa bersedia untuk memahami segala perubahan bakal dibuat.
Faktor itu menjadi kelebihan utama buat The Blues untuk mengekalkan momentum positif di Piala Dunia Kelab bertemu Fluminense dalam aksi separuh akhir di Stadium MetLife awal pagi esok.
“Saya dan pasukan sudah bersama untuk tempoh setahun dan ini adalah tahun kedua. Jadi saya dan pemain lebih mengenali antara satu sama lain berbanding awal kehadiran saya dalam pasukan.
“Pemain bertambah faham dengan struktur dan cara bermain berbeza dalam pasukan. Selepas setahun bersama pasukan, kini saya merasakan pemain sudah bertambah baik,” katanya yang bakal membuat perhitungan ketiga dengan kelab Brazil pada saingan kali ini.
Pada aksi Kumpulan D sebelum ini, Chelsea tewas 1-3 kepada Flamengo, namun di suku akhir, mereka berjaya keluar daripada badi kelab Brazil apabila mengatasi Palmeiras 2-1.
Tonggak utama Chelsea, Cole Palmer percaya The Blues kini semakin menemui rentak dan sudah membiasakan diri dengan cuaca di Amerika Syarikat selain berada pada landasan tepat untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.
Mengambil kira kehadiran bekas kapten Chelsea, Thiago Silva yang kini bersama Fluminense, Palmer merasakan ia bukan penghalang buat mereka menjulang kejayaan trofi kedua di bawah kendalian Maresca.
“Kami bertambah baik dan saya harap kami mampu bermain dengan lebih baik lagi di perlawanan separuh akhir nanti,” kata Palmer.
Sepanjang penyertaan di pertandingan itu, Chelsea kini muncul pasukan Inggeris terbaik bersama Liverpool apabila layak ke final dua kali termasuk ketika memenanginya pada 2021. – AGENSI