fbpx

Bella Astillah sifatkan kewujudan Ayden Adrean erti cinta sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bella Astillah sangat berbangga dengan anak sulungnya, Ayden yang menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-8.

PETALING JAYA – “Awak yang mengajar mummy erti cinta yang sebenar.”

Demikian kata pelakon dan penyanyi Bella Astillah sekali gus menyifatkan kelahiran anak sulungnya, Ayden Adrean yang menyambut ulang tahun kelapan hari ini sebagai satu anugerah terindah kurniaan Tuhan.

Baginya, kelahiran Ayden mengajarnya banyak perkara selain menjadi kekuatan dirinya sehingga hari ini.

“Selamat ulang tahun kelahiran kelapan anak pertama, Ayden.

“Mummy tidak akan pernah lupa momen kali pertama awak berada dalam dakapan, itu semua adalah permulaan kepada segala-galanya,” katanya dalam Instagram.

Tambah Bella, walaupun baru berusia lapan tahun, Ayden disifatkan sebagai seorang anak yang sentiasa menyenangkan dirinya.

“Ayden, awak bukan hanya seorang abang kepada Ara Adreana tetapi juga kekuatan, jiwa dan anugerah terindah.

“Terima kasih kerana sentiasa membawa kebaikan, kasih sayang dan perhatian dalam setiap detik. Melihatmu membesar adalah hadiah terindah dalam hidup mummy.

“Saya sangat menyayangi awak lebih daripada apa yang Ayden faham sekarang. Selama-lamanya juara saya,” jelasnya.

Dalam hantaran sama, Bella turut memuat naik video pendek ketika Ayden menyertai International Multisport Coastal Fest di Desaru, Johor baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, Ayden membuktikan kemampuannya berlari berenang sejauh 300 meter, berbasikal 10 kilometer dan berlari dua kilometer.

Bagi Bella, kejayaan tersebut tidak cukup dengan hanya mengungkapkan rasa bangga.

“Kamu tamatkan triathlon itu? Bangga saja tak cukup untuk menggambarkannya,” ujarnya.

Ayden dan Ara merupakan hasil perkahwinan Bella dengan pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016.

Jodoh tidak panjang, Bella dan Aliff bercerai pada 13 Jun 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI