fbpx

Austria titik permulaan kejayaan Humaira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUMAIRA

KEJAYAAN di Kejohanan Terbuka Austria baru-baru ini menjadi tonik terbaik buat bintang muda taekwondo poomsae negara, Nurul Humaira Abdul Karim dalam misi memburu emas di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Humaira yang muncul juara berpasangan campuran bersama Jason Loo di Vienna mengakui kejohanan itu hanyalah pembuka tirai kepada rangka persiapan lebih besar sedang digerakkan menjelang temasya dwitahunan tersebut.

“Terbuka Austria kejohanan antarabangsa pertama kami tahun ini. Sasaran kami menyertai lebih banyak kejohanan untuk kumpul pengalaman dan rasa pertandingan sebenar sebelum ke Sukan SEA,” katanya kepada Kosmo!.

Atlet berusia 21 tahun itu akan menyertai Terbuka Korea di Chuncheon bermula Sabtu depan, diikuti Terbuka Australia dan Oceania pada Ogos, sebelum ke Croatia atau menyertai latihan intensif bersama jurulatih dari Korea yang bakal dibawa ke Malaysia.

Mengulas mengenai sasaran pingat, Humaira mengakui semua atlet meletakkan harapan untuk meraih emas, bagaimanapun tetap berwaspada dengan saingan pasukan lawan.

“Memang semua sasarkan emas, tapi setiap pertandingan sukar dijangka. Kami akan buat yang terbaik dan fokus pada rutin harian latihan,” ujarnya.

Menurutnya, lebih lima negara bakal memberi cabaran besar dalam acara poomsae di Thailand, namun Malaysia mempunyai kelebihan menerusi gandingan berpengalaman dan semangat sepasukan yang tinggi.

“Lawan kami kuat, tapi kami pun tak kurang. Rakan sepasukan saya, Chin Ken Haw baru-baru ini menang perak di Austria menewaskan atlet ranking keenam dunia dari Croatia,” jelasnya.

Pada Sukan SEA Kemboja, Humaira menyumbang emas individu dan perak dalam kategori berpasukan, namun edisi kali ini hanya mempertandingkan acara berpasangan, berpasukan dan freestyle tanpa melibatkan kategori individu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI