fbpx

ASEAN ke-47: Dua deklarasi berkaitan hak asasi manusia bakal dimuktamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Edmund - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua deklarasi penting berkaitan hak asasi manusia dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung Oktober ini, sekali gus bakal mencatat sejarah baharu bagi rantau Asia Tenggara di bawah kepengerusian Malaysia.

Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon berkata, kedua-dua deklarasi tersebut melibatkan Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan dan Deklarasi mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan, ke Arah Merealisasikan Pembangunan Inklusif dan Mampan.

“Jika kita berjaya memuktamadkan deklarasi ini dalam sidang kemuncak Oktober nanti, ia akan menjadi satu lagi pencapaian bersejarah bagi ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia dan buat pertama kali dalam tempoh 13 tahun, ASEAN bakal menerima pakai dua deklarasi hak asasi manusia dalam setahun.

“Ini sangat penting untuk rakyat ASEAN, kerana sekiranya deklarasi ini diterima, semua orang boleh menggunakannya sebagai asas kepada hak asasi mereka. Itulah matlamat utama suruhanjaya untuk mendekatkan hak asasi manusia kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil AICHR di sini, hari ini.

Wakil Malaysia ke AICHR itu menambah, deklarasi berkaitan alam sekitar tersebut merupakan hasil rundingan selama dua tahun dan dijangka menjadi satu pencapaian besar dalam usaha melindungi hak rakyat terhadap alam sekitar yang sihat.

Deklarasi itu antara lain menegaskan hak kepada penyertaan awam, hak membuat keputusan dalam isu alam sekitar, hak kepada maklumat, dan akses kepada keadilan dalam kes pencemaran atau bencana berkaitan alam sekitar.

Sementara itu, deklarasi kedua memberi penekanan terhadap hak kepada pembangunan yang lebih luas skopnya, merangkumi bukan sahaja pembangunan ekonomi, tetapi juga politik, sosial dan budaya.

Selain dua deklarasi itu, katanya, AICHR turut memperkenalkan satu lagi inisiatif penting iaitu membangunkan kerangka tetap atau templat ASEAN bagi menangani krisis dan konflik serantau seperti di Myanmar.

“Kita tidak mahu ASEAN terus bertindak secara ad-hoc. Kita perlukan satu pendekatan bersama. Bila ada krisis, templat itu akan menjadi panduan semua negara ASEAN dan Timor-Leste untuk bertindak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI