PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil memohon maaf susulan penularan sebuah video yang mengaitkan dirinya dengan kenyataan berunsur perumpamaan tentang malaikat.
Menurut Ahmad Zahid, kenyataan tersebut dilontarkan dalam suasana penuh emosi ketika beliau mengulas tekanan yang dihadapi sepanjang memegang amanah sebagai presiden.
“Hakikatnya, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin. Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Justeru itu, sebagai seorang muslim dan pemimpin parti yang menjunjung prinsip Islam, beliau memohon keampunan daripada Allah SWT dan meminta maaf kepada semua pihak.
“Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menzahirkan harapan agar setiap langkah dan tutur kata umat Islam sentiasa berada dalam adab yang mulia serta terpelihara akidah.
“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” jelasnya
Terdahulu, tular sebuah klip di Instagram Reel menunjukkan Ahmad Zahid menyebut perkataan terbabit.- KOSMO! ONLINE