KOTA BHARU – Terdapat segelintir peniaga makanan di seluruh negara dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi atau ‘decanting’.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kes-kes melibatkan penyelewengan LPG secara ‘decanting’ ketika ini serius dan perlu dikekang kerana perbuatan itu sudah menyalahguna tong gas subsidi.
Menurutnya, kegiatan ‘decanting’ itu dijalankan dengan memindahkan gas daripada LPG subsidi ke tong-tong gas industri.
“Ada pihak syarikat yang menjual tong gas industri membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bahawa tong gas mereka tidak laku.
“Siasatan lanjut mendapati, syarikat yang menggunakan tong gas industri sudah mempunyai alternatif lain dengan membeli LPG yang sudah melalui proses ‘decanting’ yang harganya lebih murah berbanding pasaran,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 bersama Persatuan Peniaga Makanan Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan memberitahu, berdasarkan maklumat, terdapat segelintir peniaga makanan dan minuman disyaki terlibat dengan kegiatan ‘decanting’ LPG.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, peniaga tersebut ketika ini boleh membeli LPG bersubsidi dalam kuantiti yang banyak sebelum ia disimpan di dalam stor di premis mereka.
“KPDN ketika ini sedang mengenal pasti mekanisme terbaik untuk mengekang kegiatan tersebut dengan mengadakan sesi libat urus bersama peniaga di seluruh negara.
“Kita sedang dalam perancangan untuk menetapkan kebenaran stok simpanan gas LPG yang praktikal untuk peniaga kecil dan mikro,” katanya. – KOSMO! ONLINE