fbpx

Zii Jia tarik diri Terbuka Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEPUTUSAN Zii Jia pastinya mengecewakan hasrat peminat badminton tanah air apabila dilaporkan menarik diri daripada Terbuka Jepun.

KUALA LUMPUR – Hasrat menyaksikan kelibat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo bermula 15 hingga 20 Julai ini tidak tertunai apabila dia dilaporkan menarik diri.

Spekulasi itu dikuatkan lagi dengan kemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila nama pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 tersebut berada dalam senarai pemain menarik diri.

Perkembangan itu pastinya agak mengecewakan peminat-peminat sukan badminton tanah air kerana Zii Jia dijangka membuat kemunculan semula di kejohanan Jelajah Dunia Super 750 berkenaan selepas berehat panjang akibat kecederaan.

Terdahulu, pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan buku lali kanan ketika aksi terakhir peringkat kumpulan pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, Disember tahun lalu.

Sebaik pulih daripada kecederaan tersebut, Zii Jia kembali semula ke gelanggang pada Terbuka Orleans di Perancis, Mac lalu, namun seminggu kemudian dia sekali lagi dibelenggu kecederaan tersebut ketika beraksi di All England.

Hasil daripada rehat panjang tersebut, ranking Zii Jia kini menjunam ke tangga No. 27 dunia tetapi dia sudah memohon perlindungan ranking daripada BWF bagi mengekalkan kedudukan asalnya dalam kelompok lapan teratas.

Memandangkan dia tidak akan beraksi pada Terbuka Jepun, tumpuan pastinya teralih kepada Terbuka China di Changzhou (22-27 Julai) serta Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos depan.

Sementara itu, Zii Jia turut mencetuskan kerisauan dalam kalangan peminat sukan tanah air minggu lalu apabila membuat hantaran penuh misteri di Instagram yang memaparkan beberapa lakaran ilustrasi hitam putih tanpa kapsyen.

Bagaimanapun, Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan bekas juara All England itu sedang berdepan kemurungan, sebaliknya ia hanyalah sebagai minat pemain berkenaan terhadap karya-karya sedemikian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI