JITRA – Enam beranak yang ditemukan maut hari ini dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri sebaik kereta jenis Proton Saga Iswara yang dinaiki terjunam ke dalam Sungai Korok, di sini namun gagal.
Mereka ialah pasangan suami isteri, Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haidar, enam bulan.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, mayat enam beranak tersebut ditemukan di tempat duduk belakang.
“Ketika anggota melakukan operasi penyelamatan disahkan enam mangsa ini berkumpul di belakang kereta di sebelah kiri.
“Berkemungkinan ada cubaan (mangsa) untuk keluar bagaimanapun gagal,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, anggota bomba terpaksa memecahkan cermin dan membuat pemotongan badan kereta bagi mengeluarkan ksemua mangsa tersebut.
“Apabila mangsa berada dalam air untuk tempoh tertentu, jasad mangsa akan mereput dan mengembang, jadi sukar untuk mengeluarkan melalui pintu secara biasa.
“Sehubungan itu, kita potong dan memecahkan cermin belakang kereta untuk mengeluarkan mangsa,” ujarnya.
Tambahnya, jarak kereta itu tenggelam dan kawasan tebing yang terdapat kesan brek kira-kira satu meter.
“Sungai ini berkedalaman enam meter dengan lebar kira-kira 7.6 meter.
“Operasi tidak begitu sukar kerana kereta sudah terapung dan boleh ditarik ke tebing,” katanya. – KOSMO! ONLINE