PETALING JAYA – Tindakan menyentuh hati seorang jemaah haji lelaki membawa pulang beberapa anak patung unta dipercayai untuk cucu-cucunya mencuri perhatian orang ramai.
Menerusi perkongsian oleh @B4ngchik di Threads kelihatan lelaki berkenaan berjalan di lapangan terbang dengan beberapa anak patung unta digantung di seluruh badannya sebaik tiba dari Tanah Suci.
Dalam klip yang sama, turut kelihatan beberapa orang kanak-kanak dipercayai cucu kepada jemaah berkenaan kelihatan berlari menghampirinya, jelas teruja menyambut kepulangan datuk mereka yang dirindui.
“Pergi haji bawa balik satu kandang unta untuk cucu, terperanjat kami semua” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa kagum dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh lelaki berkenaan terhadap cucu-cucunya.
“Comel sangat, nampa sangat atuk ini penyayang dan ada hubungan yang sangat baik dengan cucunya,” kata Mi.
“Beginilah kasihnya seorang atuk terhadap cucu-cucunya, mengingatkan saya pada arwah ibu mertua saya,” komen Yus Izza.
Sementara itu, orang ramai juga berkongsi pengalaman hampir sama, apabila ibu bapa mereka turut membawa pulang cenderamata berupa patung unta buat cucu-cucu selepas menunaikan haji.
“Emak saya juga macam itu waktu dia balik dari haji. Yang dibawanya unta untuk cucu-cucu tak kira perempuan atau lelaki,” ujar Ditanyanyo.
“Macam mak sayalah pak cik ini, comelnya. Mak saya pun balik haji beli unta kemain besar,” balas Farahbharudin. -KOSMO! ONLINE
View on Threads