JOHOR BAHRU – Tiga murid sekolah rendah dan seorang pemandu cedera selepas van sekolah dinaiki 24 penumpang melanggar belakang sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 4.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dari Bandar Dato Onn menghala ke Kempas di sini tengah hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.10 tengah hari itu, mangsa yang cedera melibatkan pemandu van wanita berusia 45 tahun, dua kanak-kanak perempuan dan seorang murid lelaki.
Manakala 19 murid sekolah yang lain terselamat.
Difahamkan van sekolah itu dalam perjalanan dari mengambil penumpang balik sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau menuju ke Setia Tropika.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Azizi Zakaria berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan benar berlaku kemalangan membabitkan van sekolah dan treler membawa muatan simen yang diletakkan di bahu jalan.
“Pemandu van cedera akibat tersepit, manakala seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan turut cedera.
“Mangsa tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas, manakala mangsa cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Muhamad Azizi, 19 pelajar yang selamat telah diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Manakala pemandu treler berusia 32 tahun tidak mengalami kecederaan.-KOSMO! ONLINE