SUBANG JAYA – Tertekan pedal minyak punca kereta dipandu seorang lelaki tempatan merempuh sebuah restoran, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 6.20 petang itu, invididu tersebut memandu kenderaan jenis Proton X50.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu hendak meletakkan kenderaannya di kawasan parkir.
“Lelaki itu tanpa sengaja tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan yang dipandu terlanggar bahagian cermin hadapan sebuah restoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Katanya, pemandu terbabit telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Inspektor Mohd. Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE