KUCHING – Penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99 yang diluluskan menerusi persidangan khas DUN Sarawak, hari ini berpotensi menjadi batu loncatan ke arah penambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun kuasa untuk menambah kerusi Parlimen terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, usaha menambah kerusi DUN berkenaan adalah asas penting ke arah mencapai matlamat tersebut.
“Kita hanya boleh bentang dan bincang mengenai kerusi DUN dalam Dewan ini tetapi untuk kerusi Parlimen, ia perlu dibawa ke Parlimen dan memerlukan pindaan perlembagaan.
“Namun, pertambahan kerusi DUN ini akan memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencadangkan sempadan baharu bagi kerusi Parlimen,” katanya pada sidang media selepas penggulungan Rang Undang-Undang (Komposisi Keanggotaan) Dewan Undangan Negeri, 2025 yang diluluskan dalam persidangan khas DUN Sarawak, hari ini.
Menurut Karim, berdasarkan corak semasa, satu kerusi Parlimen di Sarawak kebiasaannya terdiri daripada dua hingga tiga kerusi DUN.
Justeru, katanya penambahan 17 kerusi DUN berkemungkinan akan membolehkan sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen baharu diwujudkan pada masa depan. – KOSMO! ONLINE