KUCHING – Kerajaan Sarawak mencadangkan penambahan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99 selaras dengan perkembangan semasa demografi dan keperluan rakyat yang kian meningkat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usul Rang Undang-Undang (RUU) untuk menambah kerusi itu bagi memansuhkan Ordinan Komposisi Keanggotaan DUN Sarawak 2014 (Cap.70), sekali gus membolehkan pewujudan 17 kerusi tambahan.
“Berdasarkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN hendaklah mengandungi bilangan ahli yang dipilih seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Ordinan sedia ada menetapkan jumlah kerusi sebanyak 82, namun berdasarkan perkembangan semasa dan tuntutan rakyat, penambahan kerusi adalah satu keperluan,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan dalam persidangan khas DUN Sarawak, hari ini.
Beliau merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menjelaskan perubahan komposisi keanggotaan itu penting bagi memastikan DUN kekal dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat yang sentiasa berubah. -KOSMO! ONLINE