fbpx

Representasi tiga individu dalam kes culik lelaki Palestin diterima AGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu representasi tiga daripada 14 individu yang didakwa menculik lelaki warga Palestin diterima Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badiuszaman Ahmad pada hari pertama perbicaraan kes itu di hadapan Hakim K. Muniandy.

Menurut Badius representasi tiga tertuduh yang diterima AGC itu ialah Edy Ko’im Said, 45; Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi, 26, dan Mohd. Azwan Jamaludin, 42.

“Pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepada ketiga-tiga tertuduh di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. Sebahagian representasi yang dikemukakan tertuduh lain akan diketahui Khamis ini,” katanya.

Mendengar perkara itu, Hakim Muniandy kemudian menetapkan Khamis ini bagi pertuduhan pilihan itu dibacakan semula terhadap Edy Ko’im, Muhammad Al Hatim dan Mohd. Azwan selain status representasi tertuduh-tertuduh lain.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu, seramai 30 saksi akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu dan perbicaraan berlangsung
7 hingga 11 Julai.

Kesemua 14 individu itu ialah Edy Ko’im Mohamad Norakmal Hassan, 46, Dody Junaidi, 47, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44, Mohamad Naziree Mustapha, 44, Faizull Hardey Mohd Isa, 45, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30,

Selain itu ialah Mohamad Sufian Saly, 28, Muhammad Al Hatim, Nidarahayu Zainal, 39, dan Raibafie Amdan, 44, Mohd Zaidi Mohd Zain, 59, Mohd. Azwan dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54.

Sebelum ini kesemua tertuduh dibenar diikat jamin setiap seorang masing-masing jamin RM50,000.

Mengikut pertuduhan, 14 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan lelaki Palestin itu untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam, 28 September 2022 yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara tiga lagi individu iaitu
Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, Nidarahayu serta Raibafie didakwa atas atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM250,000.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI