ALOR SETAR – Kereta dinaiki enam beranak yang ditemukan lemas dalam Sungai Korok, Jitra dekat sini hari ini dipercayai terbabas sebelum terhumban ke sungai awal pagi Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemandu kereta tersebut berada dalam keadaan mengantuk ketika kejadian.
Katanya, ia memandangkan siasatan awal di lokasi mendapati tiada kesan perlanggaran di tempat kejadian kecuali kesan brek kereta tidak jauh dari tempat kereta itu ditemukan.
“Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas setelah terperangkap dalam kereta jenis Proton Saga Iswara itu.
“Berdasarkan keterangan di tempat kejadian kita percaya kereta terbabas sendiri mungkin disebabkan mengantuk dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, semua mayat ditemukan di tempat duduk belakang saling berpelukan antara satu sama lain dipercayai terperangkap setelah terhumban dalam sungai.
“Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Beliau turut mengesahkan, mayat tersebut ialah pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, manakala empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 8, dan Tuah Haydar, enam bulan. – KOSMO! ONLINE