fbpx
Keadaan kemalangan yang meragut nyawa Abd Halim dan anaknya, Muhammad Aqeef di Kilometer 2.5, Jalan Sialang, Tangkak pada malam Jumaat lalu.

‘Memang berat rasa hati lepaskan mereka balik Segamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGKAK – Perasaan berat hati seorang guru sekolah agama di Merlimau, Melaka melepaskan anak lelakinya membonceng motosikal bersama suami untuk pulang ke kampung membawa petanda dua beranak itu akan pergi selama-lamanya.

Muhammad Aqeef Rayyan Abdul Halim, 7, dan bapanya, Abdul Halim Mohd. Aris, 52, yang juga bekas anggota tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 2.5, Jalan Sialang, di sini malam Jumaat lalu.

Nurul Aishah Mohd. Nor, 42, berkata, sebelum kejadian, dua beranak itu teruja mahu pulang ke kampung arwah suaminya di Felda Tenang, Segamat.

“Petang sebelum kejadian, mereka mengemas pakaian untuk pulang ke kampung. Saya cakap tunggu dulu sebab dah nak malam, bertolak esok pagi tetapi mereka kelihatan begitu teruja.

“Mereka nak balik kampung sebab ada kenduri tahlil arwah abang suami di Felda Tenang. Saya tidak ikut serta kerana ada kelas tambahan pada Sabtu.

“Mereka bertolak dari rumah kami di Taman Serkam Darat, Merlimau pukul 6.30 petang. Saya pesan pada Aqeef supaya jaga diri, baca doa naik kende­raan. Masa itu memang berat hati nak lepaskan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Guru agama Sekolah Agama Jaim Pulai 2, Merlimau itu berkata, pada pukul 8.30 malam, dia didatangi seorang lelaki yang memaklumkan perkhabaran duka tersebut ketika mengajar anak muridnya mengaji al-Quran.

“Individu itu bertanya betul ke ini rumah Abdul Halim. Saya beritahu saya adalah isterinya sebelum ditunjukkan beg serta kad pengenalan suami.

“Mereka cakap maaf, suami puan sudah tiada (meninggal dunia) sebab kemalangan, saya tergamam, lembik lutut dan terduduk. Saya terkedu dan segera beristighfar,” katanya.

Menurut ibu lima anak itu, dia bergegas ke Hospital Tangkak untuk proses pengecaman, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tedong Darat selepas zuhur kelmarin.

Nurul Aishah berkata, anak bongsunya, Nur Haura Qaisara berusia 16 bulan kerap menangis mencari ba­panya kerana hubu­ngan mereka rapat memandang­kan bayi itu dijaga bapanya ketika dia keluar bekerja.

“Nur Haura juga rapat dengan Aqeef, jadi kehilangan kedua-dua mereka secara serentak memberi kesan mendalam. Lagipun dia belum mengerti apa-apa,”
katanya.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa maut di lokasi selepas motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang bertembung trak pikap Toyota Hilux yang dipandu pemuda berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, kedua-dua mangsa parah di kepala dan badan. Pemandu Hilux pula cedera ringan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN