JOHOR BAHRU – Lebih 30,000 pengguna di sekitar bandar raya ini akan berdepan gangguan bekalan air selama 26 jam mulai 9 pagi, Rabu depan hingga 11 pagi, keesokan harinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Anuar Abdul Ghani berkata, gangguan bekalan air berjadual itu adalah susulan kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang.
“Kerja-kerja penyelenggaraan yang dirancang itu melibatkan baik pulih dan pemeriksaan ke atas semua instrumen penting di loji berkenaan.
“Penutupan sementara ini amat penting bagi memastikan sistem rawatan air dapat terus beroperasi dengan cekap dan selamat dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.
Anuar berkata, Ranhill SAJ sentiasa memastikan bekalan air terawat yang disalurkan kepada pengguna kekal mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menurutnya, gangguan bekalan air berjadual itu adalah langkah proaktif demi memastikan sistem pembekalan air berada dalam keadaan optimum dan stabil.
“Justeru, pihak Ranhill SAJ memohon kerjasama kesemua pengguna yang terlibat supaya menyimpan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
“Dalam masa sama, lori-lori tangki air juga akan digerakkan bagi memenuhi keperluan kecemasan terutama di lokasi kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan institusi yang memerlukan bekalan air berterusan,” katanya.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut dan perkembangan terkini berhubung gangguan tersebut boleh menghubungi 1800-88-7474, melayari laman sesawang www.ranhillsaj.com.my atau Facebook rasmi Ranhill SAJ.-KOSMO! ONLINE