JITRA – ‘Kawasan Sungai Korok ni memang selalu berlaku kemalangan, memang kena hati-hati kalau ikut jalan ini’
Demikian kata penduduk Kampung Kemboja, di sini Mohd. Anas Fadli, 30, ketika ditemui di rumahnya yang terletak berdekatan lokasi kereta dinaiki enam beranak terhumban ke dalam Sungai Korok, di sini.
Menurutnya, dia percaya ia merupakan kemalangan kedua berlaku di sungai dalam kawasan kampungnya itu pada tahun ini.
“Kali ini paling tragis apabila melibatkan enam nyawa, memang sayu bila tahu satu keluarga ditemukan lemas dalam kereta,” katanya di sini hari ini.
Dia turut menasihatkan pengguna jalan raya agar berwaspada sekiranya menggunakan jalan itu yang terletak bersebelahan sungai yang dalam dan lebar.
“Jalan di sini pun tidaklah sempurna, tidak sekata selain kenderaan berat juga lalu lalang, jadi memang kena berhati-hati,” ujarnya.
Tambahnya, dia tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan termasuk bunyi brek kenderaan pada awal pagi Sabtu lalu.
“Pagi tadi ada seorang penunggang motosikal yang nampak kereta tersebut, bila dah sah ia kereta, dia terus menghubungi talian kecemasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE