fbpx

Kanak-kanak maut didera: Keterangan keluarga kandung telah diambil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Polis telah merakam keterangan daripada keluarga kandung kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang maut disyaki didera ibu bapa angkatnya di Paya Jaras, di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, keterangan tersebut diambil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tragik berkenaan.

“Setakat ini, siasatan terhadap kedua-dua suspek masih diteruskan. Mereka kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa dijaga oleh pasangan tersebut sejak berusia tujuh bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu Kosmo! melaporkan, polis menerima laporan kejadian berkenaan daripada seorang pegawai perubatan yang bertugas di Zon Merah Jabatan Kecemasan, Hospital Sungai Buloh sekitar pukul 12.25 tengah malam.

Pengadu memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah dibawa ke zon kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10.45 malam sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa menemukan kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain tompokan darah kering di bahagian mulut dan hidung.

Siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut dihantar ke hospital oleh seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang didakwa sebagai keluarga angkat mangsa.

Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 28 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI