ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri menerusi syarikat milikannya, Johor Corporation (JCorp) bekerjasama dengan sebuah syarikat pertanian antarabangsa bagi membangunkan ladang tanaman menegak terbesar di Malaysia.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Projek Ladang Menegak Farmbyte Archisen itu berkeluasan 52,000 kaki persegi.
“Ini merupakan satu detik bersejarah buat Johor, Malaysia dan Singapura apabila projek kerjasama dengan nilai pelaburan RM40 juta yang dirancang pada 2023 telah memulakan operasinya.
“Kerjasama ini bakal membantu hasrat kerajaan negeri membina ekosistem pertanian yang lebih baik dan moden untuk kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek berkenaan, di Taman Perindustrian Nusajaya 2, Gelang Patah, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, kerjasama tersebut dijangka akan membuka laluan kepada lebih banyak syarikat berkaitan pertanian lain bekerjasama dalam ekosistem pertanian di negeri ini.
“Ini hanyalah permulaan, ‘work in progress’. Selain turut merancang untuk membesarkan lagi saiz operasi, kita juga jangka akan ada syarikat pertanian lain turut terlibat pada masa depan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE