PETALING JAYA- Tragedi menyayat hati di Sungai Korok yang mengorbankan enam sekeluarga memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan bersedia menghadapi situasi kecemasan, khususnya kenderaan berada dalam air.
Menurut Public Health Malaysia, perkara paling utama yang perlu dilakukan dalam situasi cemas itu adalah tidak panik.
Panik dikatakan akan melambatkan tindakan dan mengganggu pertimbangan rasional. Sebaliknya, mangsa perlu fokus untuk menyelamatkan diri secepat mungkin.
Langkah pertama ialah menanggalkan tali pinggang keselamatan sebaik menyedari kenderaan mulai tenggelam.
Ramai mangsa gagal keluar kerana terperangkap dengan tali pinggang yang tidak dibuka dalam masa yang cukup.
Sebaik tali pinggang ditanggalkan, usah cuba membuka pintu kenderaan. Tekanan air dari luar amat kuat dan hampir mustahil untuk pintu dibuka ketika kenderaan berada dalam air. Sebaliknya, tumpuan perlu diberi kepada tingkap.
Dalam tempoh 30 hingga 60 saat pertama, sistem elektronik kenderaan biasanya masih berfungsi. Ini adalah masa paling kritikal untuk menurunkan tingkap dan keluar segera.
Jika tingkap tidak dapat diturunkan secara automatik, tingkap perlu dipecahkan menggunakan alat khas atau objek keras yang ada dalam kenderaan seperti kepala penyandar kerusi.
Setelah tingkap berjaya dibuka atau dipecahkan, mangsa perlu segera menolak diri keluar sebelum ruang dalam kenderaan dipenuhi air. Sebarang kelewatan boleh mengurangkan peluang untuk selamat.
Urutan yang disarankan oleh pakar keselamatan adalah mudah, tanggalkan tali pinggang, fokus pada tingkap, dan segera keluar. Tiga langkah ini boleh membezakan antara hidup dan maut dalam situasi genting.
Public Health Malaysia turut menasihati orang ramai agar melengkapkan kenderaan dengan alat kecemasan seperti pemecah tingkap dan pemotong tali pinggang, dan pastikan ia diletakkan di tempat mudah dicapai bukan di dalam but atau ruang tersembunyi.
“Tragedi tidak dapat dielakkan jika sudah ditakdirkan, namun kita masih boleh berusaha meningkatkan peluang untuk selamat. Pendidikan awam seperti ini adalah kunci,” kata kenyataan itu.
Orang ramai juga digesa menyebarkan pengetahuan ini demi keselamatan keluarga dan komuniti, agar tragedi seperti di Sungai Korok tidak berulang tanpa persediaan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE