JAKARTA – Persatuan kilang gandum Indonesia akan menandatangani perjanjian mengimport sekurang-kurangnya satu juta tan metrik gandum Amerika Syarikat (AS) setahun untuk tempoh lima tahun akan datang dalam urusniaga berjumlah AS$1.25 bilion (RM5.30 bilion), katanya hari ini ketika Jakarta membentangkan rangka kerja bagi mengelakkan kesan paling buruk tarif Presiden Donald Trump.
Menteri Koordinasi Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto memberitahu AFP minggu lalu bahawa Jakarta akan meningkatkan import pertanian dari AS bagi mengelakkan tarif lebih tinggi yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini tanpa perjanjian perdagangan baharu.
“Kami sudah mencapai persetujuan antara Persatuan Gandum AS dan Aptindo untuk membeli sejuta tan metruk gandum dari 2026 hingga 2020,” kata ketua Aptindo, Franciscus Welirang hari ini.
Perjanjian bernilai AS$250 juta (RM1.05 bilion) setahun itu ditandatangani di Jakarta hari ini, katanya.
Sementara itu, Trump berkata kelmarin bahawa beliau akan memaklumkan kepada negara-negara luar mengenai kadar baharu tarif minggu ini dan memberi amaran, cukai itu akan melonjak kepada paras yang beliau tetapkan pada April lalu sebelum mengumumkan penangguhan selama 90 hari.
Indonesia yang merupakan antara rakan dagang utama AS, berdepan tarif tambahan 32 peratus selain cukai asas 10 peratus.
Data pejabat perwakilan perdagangan AS menunjukkan defisit perdagangan Washington dengan Jakarta berjumlah AS$17.9 bilion (RM75.84 bilion) pada 2024, meningkat 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. – AFP