SILVERSTONE – Penantian pelumba McLaren, Lando Norris untuk memenangi perlumbaan di laman sendiri tertunai selepas dia muncul juara pada Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone semalam.
Berlumba dalam keadaan litar basah akibat hujan lebat, Norris dicabar Oscar Piastri sepanjang 59 pusingan, namun nasib memihaknya apabila rakan sepasukannya itu dikenakan penalti 10 saat.
Norris yang turut memenangi perlumbaan di Austria sebelum ini mengakui bangga dengan keputusan itu memandangkan kemenangan di Silverstone adalah salah satu sasaran dalam kariernya.
“Satu pencapaian yang sangat membanggakan kerana ini merupakan impian saya. Selain dapat bersaing untuk kejuaraan, ia menjadi satu kepuasan kepada saya kerana akhirnya dapat menang di Silverstone.
“Sejak mula menonton Formula Satu (F1), Jenson (Button) menjadi inspirasi untuk saya dan kali ini dapat melakukannya sendiri. Satu perlumbaan yang hebat walaupun persaingan hari ini (kelmarin) sengit,” katanya.
Sementara itu, Norris turut menjelaskan, ketika perlumbaan semakin hampir ke penghujung, dia berasa sedikit tertekan kerana bimbang akan melakukan kesilapan dan terlepas peluang untuk memenangi saingan.
“Ketika perlumbaan hampir tamat, fikiran saya seolah-olah kosong kerana risau melakukan kesilapan. Bagaimanapun, melihat sokongan penonton, ia membuatkan saya kembali bersemangat dan kekal fokus,” ujarnya. – AGENSI