BURNLEY – Bagi menambah pengalaman di benteng pertahanan menjelang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26, Burnley membuat keputusan untuk menyambar khidmat kapten Manchester City, Kyle Walker.
Pemain berusia 35 tahun itu melengkapkan perpindahan ke Turf Moor dengan nilai mencecah £5 juta (RM28.81 juta) selepas bersetuju menandatangani kontrak selama dua tahun bersama pasukan tersebut.
Walker yang menghabiskan separuh musim 2024/25 bersama AC Milan secara pinjaman berkata, dia gembira dapat menyertai The Clarets kerana menganggap pasukan itu memiliki ramai pemain muda berbakat.
“Saya sangat gembira untuk datang dan menyarung jersi pasukan ini. Sudah tentu saya tidak sabar untuk curahkan pengalaman serta kualiti yang saya ada ke dalam pasukan rata-ratanya dibarisi pemain muda.
“Saya juga sudah bercakap dengan pengurus (Scott Parker) dan tahu apa perancangan beliau untuk musim depan. Beliau sudah melakukan tugas yang cukup baik untuk kembali membawa Burnley ke Liga Perdana,” katanya.
Sebagai rekod, Parker bukanlah watak asing buat Walker memandangkan mereka pernah bergelar rakan sepasukan ketika kedua-duanya menyarung jersi Tottenham Hotspur sebelum Walker mengambil keputusan menyertai City.
Sebelum membuat keputusan menyertai Burnley, Walker menunggu keputusan Milan sama ada mahu mendapatkan khidmatnya secara tetap ataupun tidak, namun pasukan Serie A itu memilih untuk tidak melakukan bidaan. – AGENSI11