LONDON – Chelsea terus melabur duit pada jendela perpindahan kali ini selepas melengkapkan pembelian pemain sayap Borussia Dortmund, Jamie Gittens menerusi kontrak selama tujuh tahun.
Selepas memulakan rundingan sejak bulan lalu selain menyaksikan beberapa tawaran ditolak, akhirnya The Blues berjaya mendapatkan pemain yang diidam-idamkan itu menerusi pakej mencecah £55 juta (RM316.99 juta).
Gittens yang merupakan produk akademi Manchester City mengakui gembira kerana dapat melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge bagi menyertai rakan sepasukan lamanya seperti Cole Palmer dan Liam Delap.
“Satu perasaan yang sangat untuk digambarkan ketika ini. Saya rasa sangat gembira dan bangga kerana dapat menyertai pasukan yang sangat besar seperti Chelsea, ia detik cukup bermakna.
“Saya sudah tidak sabar untuk belajar sesuatu daripada semua pemain yang ada dalam pasukan. Apa yang pasti, saya akan cuba memberikan segala-galanya untuk melonjakkan prestasi ke tahap maksimum,” katanya.
Menerusi kehadiran Gittens, ia menyaksikan Chelsea sudah melengkapkan tujuh pembelian pemain pada jendela perpindahan kali ini selepas ketibaan Delap, Joao Pedro, Estevao Willian, Dario Essugo, Mamadou Sarr dan Kendry Paez.
Bagaimanapun, berbeza dengan Pedro, Gittens tidak boleh bermain bersama Chelsea di separuh akhir Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 kerana sudah melakukan penampilan bersama Dortmund sebelum ini. – AGENSI