KUALA TERENGGANU – Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kemaman bagi mengatasi masalah banjir yang menelan kos RM300 juta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2031.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek mega diluluskan Kerajaan Persekutuan itu masih dalam peringkat pra-pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau berkata, projek tersebut merupakan langkah jangka panjang kerajaan bagi mengatasi isu banjir serius di daerah Kemamam khususnya Chukai.
“Projek ini bertujuan untuk mengurangkan kerosakan harta benda dan melindungi nyawa penduduk yang terkesan setiap kali musim tengkujuh,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Hafiz Adam (Pas-Air Putih) yang ingin mengetahui perkembangan projek tersebut.
Hanafiah berkata, projek PLSB tersebut bertujuan mengurangkan kawasan takungan banjir yang menjadi punca utama limpahan air setiap kali hujan lebat melanda pada musim tengkujuh di daerah Kemaman.
Beliau berkata, antara komponen utama projek PLSB tersebut adalah pembinaan sungai tiruan sepanjang antara lapan hingga sembilan kilometer (km) dari kawasan Parman ke Tasik Bungkus Iboi, Kemaman.
“Projek ini akan dilaksanakan secara kaedah reka dan bina, dengan penilaian kontraktor kini sedang dijalankan oleh JPS,” katanya. – KOSMO! ONLINE