PUTRAJAYA – Gara-gara meminjam wang sejumlah RM150 dan gagal membayar pinjaman itu, peminjam dipaksa membakar rumah orang demi menyelamatkan nyawa sendiri dan keluarga daripada ancaman bunuh.
Lebih mengecewakan, tindakan itu tidak terhenti pada sebuah rumah sahaja, sebaliknya perlu terus dilakukan selagi wang pinjaman yang mencecah puluhan ribu ringgit dari hari ke hari belum dilangsaikan sepenuhnya.
Ketua Unit Banteras Ahlong, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa berkata, itu antara modus operandi dibongkarkan pihaknya apabila peminjam gaga membayar balik pinjaman ah long terlibat.
“Mangsa-mangsa ini bila terlalu takut, mereka sanggup terima tawaran kumpulan yang beri pinjaman ini untuk bakar rumah, simbah cat dan jenayah lain terhadap mangsa-mangsa yang
juga gagal membayar wang pinjaman.
“Jika sanggup buat, hutang mereka akan dihapuskan sedikit demi sedikit bahkan turut terima upah.
“Contohnya bakar sebuah rumah hutang lupus RM1,500 kalau mangsa itu hutang dan
‘bunga’ sebanyak RM9,000 berapa rumah perlu dibakar dan dibaling cat,” katanya hari ini.
Katanya, jumlah mangsa kumpulan terbabit semakin ramai yang mana pihaknya sahaja telah berjaya menyelesaikan sebanyak
2,000 kes sejak tahun 2022 sekali gus menyelamatkan mangsa daripada menerima tawaran kumpulan itu.
“Setakat ini, jumlah pinjaman tertinggi dalam rekod kita adalah sejumlah RM70,000 yang
asalnya bermula dengan RM150 sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE