ATLANTA – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique teruja melihat pasukan kini hanya selangkah ke pentas final selepas menewaskan Bayern Munich 2-0 dalam aksi suku akhir Piala Dunia Kelab awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Mercedes-Benz itu, skuad Le Parisians berjaya meraih kemenangan hasil jaringan Desire Doue dan Ousmane Dembele.
Namun, PSG ditimpa nasib malang apabila dua pemain pertahanan, Willian Pacho dan Lucas Hernandez dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan kerana mengasari pemain lawan.
Kata Enrique, perlawanan yang diharungi sangat sukar kerana Bayern memberikan tentangan sengit sepanjang 90 minit perlawanan terutama ketika pasukan terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.
“Saya rasa ini adalah aksi yang sengit kerana rekod kita bertemu Bayern tidak begitu baik. Situasi bertambah sukar apabila kita kehilangan dua tonggak pertahanan tetapi semua pemain bekerja keras.
“Sekarang fokus perlu diberikan pada aksi separuh akhir minggu depan dan saya harap semua pemain dapat pulih daripada sebarang isu kecergasan kerana kita telah mengharungi musim yang panjang.
“Selain itu, saya juga mahu pasukan elak daripada melakukan kesilapan mudah dengan mengasari pasukan lawan seperti aksi kali ini,” katanya.
Sebagai rekod, PSG yang akan bertemu Real Madrid pada aksi separuh akhir nanti memburu trofi kelima mereka pada saingan musim ini. – AGENSI