BALIK PULAU – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa khas secara rasmi bagi menangani isu beban tugas guru yang semakin membelenggu warga pendidik di seluruh negara.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, walaupun isu tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama namun penyelesaian yang tuntas masih belum dapat dirasai oleh lebih 400,000 guru yang berada dalam sistem pendidikan negara terutama di peringkat akar umbi.
”Kita mahukan penyelesaian terhadap isu beban tugas guru ini dapat dibuat walaupun isu ini sudah lama menjadi perbincangan tetapi masih belum ada keputusan dalam aspek penyelesaiannya.
”Jadi kita mahukan supaya ada satu jawatankuasa khas dibentuk secara rasmi oleh KPM bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara komprehensif. Ini kerana guru tidak patut terbeban dengan tugas yang bukan bersifat profesional,” katanya dalam sidang akhbar sempena Kajian Pertengahan Penggal NUTP Bagi Sesi 2023-2026, di sini hari ini.
Persidangan selama tiga hari yang berlangsung di Teluk Bahang, Pulau Pinang itu turut membangkitkan sembilan lagi isu utama yang akan diserahkan kepada pihak kerajaan, termasuk KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE