fbpx

Bayi 15 bulan maut disyaki angkara ibu, kekasih baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Seorang ibu tunggal dan kekasih baharunya ditahan berhubung kematian bayi perempuannya berusia 15 bulan di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini malam tadi.

Kejadian terbongkar kira-kira pukul 11 malam selepas pihak Hospital Tampin melaporkan menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam di perut dan belakang badan.

Menurut sumber, pemeriksaan turut menemui kesan kecederaan pada bahagian dubur mangsa.

“Bayi itu dibawa ke hospital oleh ibu kandungnya yang berusia 24 tahun dan teman lelakinya pada pukul 11 malam selepas mangsa dikatakan tidak sedarkan diri pada pukul 10.30 malam.

“Pemeriksaan pada bayi itu menemui kesan kecederaan disyaki didera. Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.

Jelasnya, suspek wanita mendakwa dia membawa bayinya dari rumah di Kampung Anak Air Durian Daun, Tampin, Negeri Sembilan ke tempat kerja teman lelakinya di Bandar Satelit pukul 6.30 petang semalam.

“Ibu bayi itu kemudian keluar untuk membungkus makanan dan meninggalkan mangsa kepada kekasihnya yang juga pemain muzik. Mangsa merupakan anak tunggal hasil perkahwinan terdahulu.

“Sebaik pulang, wanita itu mendakwa dia menidurkan bayinya pada pukul 10 malam dan menyedari mangsa pengsan ketika mahu pulang ke rumah di Tampin pada pukul 10.30 malam,” katanya.

Tambahnya, suspek wanita yang bercerai tahun lalu kemudian membawa bayinya ke hospital dengan ditemani kekasihnya yang berusia 20 tahun.

Pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI