JAKARTA – Seorang lelaki di Purwakarta, wilayah Jawa Barat tergamak mendera anaknya yang berusia lebih setahun semata-mata untuk mengugut isterinya agar kembali kepadanya, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Dalam sebuah video tular di media sosial, lelaki dikenali sebagai DH, 26, merakam tindakannya dan menghantar video itu kepada isterinya.
Ketua masyarakat setempat, Rhosim berkata, isteri DH sebelum itu meninggalkan rumah dan meminta untuk diceraikan kerana tidak tahan dengan sikap lelaki tersebut yang kerap memukulnya.
“DH merakam video dan menghantar kepada isterinya agar wanita itu pulang ke rumah.
“Anak yang didera dalam dalam video itu berusia satu tahun enam bulan, manakala kakaknya yang berusia empat tahun turut didera,” kata Rhosim.
Sementara itu, Ketua Polis Purwakarta, Komisioner Kanan Lilik Ardiansyah berkata, beberapa penduduk membuat laporan berhubung insiden tersebut sebelum suspek melarikan diri ke dalam hutan.
“Suspek menampar, memijak dan memukul anaknya hingga lebam.
“Dia merakam video penderaan itu kerana berang dengan tindakan isterinya yang melarikan diri dari rumah,” kata Lilik.
Polis telah menangkap suspek dan dia kini berdepan hukuman penjara 10 tahun. – AGENSI