JOHOR BAHRU – Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Asman Shah Abd. Rahman secara rasmi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor baharu menggantikan Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Perkara tersebut diumumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.
Baginda berkenan menyampaikan penyerahan Surat Tauliah dalam satu majlis istiadat yang diadakan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli.
Antara jawatan lain pernah disandang Asman Shah termasuklah Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang, Pengarah Tourism Johor serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.
Beliau mempunyai latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun.-KOSMO! ONLINE