LONDON – Seorang lelaki di Lancashire, Britain mengalami detik cemas apabila dirempuh sebuah kereta di bengkel miliknya, yang mendatangkan kecederaan serius pada alat sulitnya, lapor akhbar Metro UK semalam.
Semasa kejadian pada 16 Jun lalu, Karl Farrar, 49, baru sahaja meletakkan sebuah kereta BMW Estate di dalam bengkel dan menarik brek tangan sebelum keluar daripada kendaraan itu.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bengkel menunjukkan dia cuba menghentikan kereta itu yang tiba-tiba mengundur dan melanggarnya.
Karl menjerit meminta tolong sebelum beberapa pekerja cuba menghentikan kereta tersebut.
Dia kemudian rebah dan tidak dapat bangun disebabkan kesakitan yang dialami.
Menurut Karl, doktor memberitahu bahawa dia mengalami kerosakan tisu lembut pada kawasan pelvis dan pangkal pahanya.
Katanya, beberapa bahagian pada alat sulitnya hancur dan sudah ‘tidak dapat dikenali’, membuatkan dia tidak pasti sama ada ia masih boleh berfungsi seperti biasa.
“Kawasan itu masih sangat sakit tetapi saya fikir ia akan baik-baik saja,” katanya.
Menurut Karl, kereta yang merempuhnya mempunyai masalah pada brek tangan dan dia menganggarkan berat kenderaan itu sekitar 1,800 kilogram.- AGENSI